CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Tuesday, July 8, 2008

Assalamualaikum,

Sekadar renungan..............

Tekanan emosi, jiwa dan perasaan itu merupakan lumrah hidup. Setiap orang pasti mengalami peristiwa yang menjadi punca emosinya tegang. Ini disebabkan pelbagai perkara. Itu semua ujian ALLAH kepada semua makhluk-NYA. Sesiapa yang sabar dengan memohon agar ALLAH membantunya dalam segala urusan, maka dia akan beroleh ganjaran dan syurga ALLAH.

Orang Islam sentiasa diuji dengan pebagai cubaan, kesedihan, kegelisahan, dan tekanan emosi. Dengan itu DIA akan meingkatkan darjat kita. Firman ALLAH S.W.T:

"DIAlah yang telah Mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." – Surah al-Mulk: 2.

Antara perkara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan ketenangan jiwa adalah memperbanyakkan amalan soleh seperti solat sunat, zikir, puasa, doa, membaca al-Quran dan sebagainya. Selain itu, meletakkan kecintaan kepada ALLAH, Rasulullah dan menyintai sesama muslim kerana ALLAH semata-mata.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Tiga perkara yang sesiapa mendapatnya akan merasakan kemanisan iman: Menyintai ALLAH dan Rasul-NYA melebihi segala-galanya, mengasihi seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti membenci untuk dicampakkan ke dalam neraka." – Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Jika ALLAH menghendaki kebaikan pada seseorang, dia akan mengujinya dengan musibah." – Hadis riwayat al-Bukhari.

Antara rawatan kepada penyakit kejiwaan ini ialah:

1. Membaca al-Quran setiap hari.

2. Berdoa pada satu per tiga akhir malam dengan merayu agar ALLAH menenangkan jiwa.

3. Istiqamah membaca zikir khususnya zikir pagi dan petang.

4. Menjauhi maksiat.

5. Membanyakkan istighfar.

6. Memperbanyakkan membaca doa menjauhi kesedihan dan tekanan perasaan, iaitu:

Laailaha illallahul 'aziimul haliim laailaha illallahu rabbul 'arsyil 'aziim laailaha illalahu rabbus samaawaati wa rabbul ardhi wa rabbul 'arsyil kariim.

"Tiada tuhan selain ALLAH yang Maha Mulia lagi Maha Lemah Lembut. Tiada selain ALLAH. TUHAN 'arasy yang Agong. Tiada tuhan selain ALLAH. TUHAN langit dan bumi dan TUHAN 'arasy yang Pemurah." – Hadis riwayat Muslim.

Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Jika salah seorang daripada kamu kesedihan ucapkanlah:

Yaa hayyuu yaa qayyum birahmatika astaghits

"Wahai TUHAN yang Hidup yang Kekal. Dengan Rahmat-MU aku memohon pertolongan-MU." – Hadis riwayat al-Tirmizi.

Menurut Asmak Binti Umais, Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: Mahukah kamu aku ajarkan kalimah-kalimah yang boleh kamu ucapkan ketika dilanda kegelisahan? Bacalah:

ALLAHu rabbi laa usyriku bihi syaian

"Ya ALLAH TUHANku tidak akan aku sekutukan-NYA dengan sesuatu pun." – Hadis riwayat Abu Daud.

Menurut Ibn Mas'ud r.a, sabda Rasulullah s.a.w: Sesiapa di kalangan hamba yang ditimpa musibah dan dia berasa dukacita, maka bacalah:

ALLAHumma inni 'abduka wabnu 'abdik wabnu amatik naasiyati biyadik maadhin fiyya hukumuk 'adlun fiyya qadhaa-uk as-aluka bi kulli ismin huwa lak sammaita bihi nafsak au anzaltahu fii kitaabik au 'allamtahu ahadan min khalqik au istaktsarta bihi fi 'ilmil 'ghaib 'indak an taj'alal qur-aana rabii'a qalbi wa nuura sodri wa jilaa-a huzni wa dzahaaba hammi

"Ya ALLAH, aku adalah hamba-MU, anak hamba lelaki-MU anak hamba perempuan-MU. Nasibku ada di tangan-MU. Apa yang berlaku ke atasku adalah ketentuan-MU. ENGKAU telah menentukan untukku dengan Adil. Aku memohon kepada-MU dengan semua nama yang ENGKAU miliki dan ENGKAU namakan Diri-MU. Atau yang ENGKAU nyatakan dalam Kitab-MU atau yang ENGKAU aja kepada salah satu daripada makhluk-MU. Atau yang ENGKAU sembunyikan dalam ilmu ghaib di sisi-MU. Jadikanlah al-Quran yang mulia itu sebagai kehidupan bagi hatiku dan cahaya kepada dadaku, penenang kegelisahanku dan penghapus kesedihanku.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang membaca doa ini) ALLAH AZZA WA JALLA pasti akan menghilangkan kesedihan dan kegelisahannya serta menggantikannya dengan kebahagiaan. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kami perlu mempelajarinya? Lalu baginda berkata: Sudah tentu. Hendaklah sesiapa yang mendengarnya mempelajarinya."

Dan banyak lagi zikir-zikir lain yang boleh menenangkan kesedihan dan kegelisahan. Dapatkan buku-buku doa menurut al-Quran dan sunnah. Antaranya Hisnul Muslim, karangan al-Qahtoni dan al-Azkar karangan Imam al-Nawawi.

Wallahu a’lam.

Tidak Berdoa Dan Membaca Surah

Assalamualaikum,

Sekadar renungan..............

Berdoa selepas berwuduk bukan termasuk syarat sah tetapi ia termasuk sunnah Rasulullah s.a.w. Menuruti sunnah bermakna kita telah menghimpunkan banyak kebaikan untuk menghadapi hari akhirat kelak.

Menurut Umar bin al-Khattab r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Sesiapa berwuduk dan memperbaguskan cara berwuduk kemudian membaca doa: Asyhadu alla ilaaha illallah wahdahu la syarikalah wa asyhadu anna muhammadan abduhu wa rasuluh. Allahummaj’alni minat tawwabin waj’alni minal mutatohhiriin, dibuka kelapan-lapan pintu syurga dan dia kelak dibenarkan masuk dari mana-mana pintu yang dikehendaki.” – Hadis riwayat Muslim.

Begitu juga perbuatan membaca surah selepas al-Fatihah. Ia termasuk sunnah tetapi solat tetap sah tanpa membacanya. Mengikuti sunnah lebih afdal berbanding meninggalkannya. Sedangkan, Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah meninggalkannya dan memerintahkan kita agar menunaikan solat seperti apa yang disifatkan oleh baginda:

“Kamu semua hendaklah mengerjakan solat seperti apa yang kamu telah melihat aku kerjakannya.” – Hadis riwayat al-Bukhari.

Wallahu a'lam.

Sunday, July 6, 2008

Qadak Solat

Assalamualaikum,

Sekadar renungan..............

Tidak perlu mengqadak solat apabila ditinggalkan secara sengaja menurut pendapat paling sahih antara perselisihan. Meninggalkan solat secara sengaja terkeluar dari kalangan umat Islam dan keadaan ketika dia meninggalkan solat dianggap sama seperti golongan kafir.

Sabda Rasulullah s.a.w :
“Beza antara orang beriman dengan orang yang kufur atau syirik ialah meninggalkan solat.” – Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Jadi, jelaslah kepada kita bahawa sesiapa meninggalkan solat bermakna dia termasuk di kalangan orang yang kufur. Bukankah amalan orang kafir dan musyrik itu tidak diterima selagi tidak bertaubat? Justeru, dia wajib bertaubat dengan taubat nasuha dan meninggalkan perbuatan itu. Sama juga seperti kuffar dan musyrik yang wajib bertaubat dan meninggalkan perbuatan kufur dan syirik itu. Selepas itu, golongan ini hendaklah memperbanyakkan amal soleh untuk memberatkan timbangan amalannya.

Selain itu, dalam riwayat yang lain menceritakan bahawa Nabi s.a.w tidak pernah memerintahkan golongan kuffar yang kembali kepada Islam mengqadak solat mereka. Begitu juga para sahabat seperti Abu Bakar al-Siddiq r.a. Ketika menjadi khalifah, beliau tidak memerintahkan orang yang telah murtad mengqadak solat apabila kembali kepada Islam.

Wallahu a’lam.

Cinta Sebelum Kahwin

Assalamualaikum,

Sekadar renungan..............

Cinta itu adalah suatu perasaan yang dikurniakan oleh ALLAH kepada setiap insan. Cinta mendorong manusia untuk terus hidup dan mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Islam tidak pernah menghalang sesuatu yang merupakan fitrah. Tetapi Islam memberikan garis panduan agar kehidupan mereka terpelihara daripada kerosakan dan menjamin keamanan mereka. Cinta yang didorong oleh rasa takut kepada ALLAH akan membawa kebaikan dan kebahagian kepada manusia. Sebaliknya cinta yang berlandaskan nafsu tidak akan kekal. Malah akan menyebabkan manusia rasa gundah gulana dan kecewa. Cinta yang sejati dan agung hanyalah untuk ALLAH.

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Tiga perkara yang sesiapa melakukannya akan mendapat kemanisan iman: Menjadikan ALLAH dan Rasul-NYA s.a.w sebagai cinta yang paling utama, menyintai seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia benci dicampakkan ke dalam neraka." – Riwayat al-Bukhari.

Kewujudan cinta sebelum membuat keputusan untuk mengahwini seseorang itu penting dan dituntut oleh syarak. Rasulullah s.a.w menyarankan agar mereka yang ingin berkahwin melihat wanita yang ingin dikahwini terlebih dahulu. Hal ini pernah berlaku kepada seorang sahabat Nabi, iaitu al-Mughirah bin Syu'bah. Beliau memberitahu baginda bahawa beliau ingin mengahwini seorang wanita. Lalu baginda menyarankan agar beliau melihat dahulu wanita itu kerana ia boleh mendatangkan perasaan cinta kepada pasangan yang ingin dikahwini. (Rujuk al-Tirmizi: 1087. Diklasifikasikan sebagai hasan oleh al-Nasai).

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Tidak kami dapati pada dua orang yang sedang bercinta itu (lebih baik daripada) nikah." – Riwayat Ibn Majah dan diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Busoiri dan al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah: 624.

Al-Sindi r.h berkata :
"Hadis itu boleh merujuk kepada dua orang atau lebih. Maksudnya, jika timbul perasaan cinta antara dua manusia yang berlainan jenis, cinta itu tidak akan bertambah atau bertahan lama tanpa ikatan perkahwinan. Jika terjadi perkahwinan atas dasar cinta itu, ia akan bertambah kuat dari hari ke hari."
– (Rujuk: Nota kaki Sunan Ibn Majah).

Konsep cinta dalam Islam sangat unik, iaitu menyintai sesuatu atau seseorang hendaklah kerana mencari keredhaan ALLAH dan menurut peraturan syarak. Islam mengajar kita bahawa perkahwinan adalah ikatan yang suci, tepat dan satu-satunya cara yang dibenarkan oleh syarak dalam menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita. Jika seorang lelaki benar-benar ingin mengambil seorang wanita menjadi isteri, dia perlu melihat wanita itu dengan keizinan wali dan ditemani mahram.

Sabda Rasulullah s.a.w melalui hadis Ibn Abbas r.a : "Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan wanita kecuali wanita itu bersama mahramnya." – Riwayat al-Bukhari.

Berhubung dengan batasan aurat bakal isteri, jumhur ulama berpendapat, hanya dibolehkan melihat wajah dan kedua tangan hingga ke pergelangan. Al-Auza'i berpendapat, dibolehkan melihatnya kecuali aurat, Ibn Hazm berkata, boleh melihat bahagian depan dan belakang wanita itu.

Menurut Ibn Qayyim, terdapat salah satu riwayat Imam Ahmad yang membenarkan bakal suami melihat apa yang zahir daripada tubuh bakal isteri seperti leher, betis dan sebagainya. Pendapat ini dipersetujui oleh Ibn Qudaamah dan al-Hafiz Ibn Hajar r.h. (Tahziib al-Sunan, ms: 25 – 26, al-Mughni, jil: 7, ms: 454 dan Fath al-Baari, jil: 11, ms: 78).

Antara pendapat ulama tentang batasan aurat bakal isteri ialah :
Menurut Imam Syafie, tidak boleh melihat wanita yang ingin dikahwini tanpa menutup kepala (memakai hijab). Dia boleh melihat wajah dan tangan hingga ke pergelagan sama ada dengan keizinan atau tanpa keizinannya. (Al-Haawi al-Kabiir, jil: 9, ms: 34).

Imam al-Nawawi berpendapat dalam Raudhah al-Tolibin dan 'Umdah al-Muftin, jil: 7, ms: 19 – 20, sunat melihat bakal isteri agar seorang lelaki itu tidak menyesal setelah berkahwin dengannya… dibolehkan melihat berkali-kali dengan izinnya atau tanpa keizinannya. Jika masih tidak berpuas hati, dia dibenarkan mengutus wanita lain untuk melihatnya dan menerangkan sifat-sifat wanita itu kepadanya. Wanita juga dikehendaki melihat bakal suami agar apa yang disukai oleh bakal suami, disukai juga oleh dirinya terhadap bakal suami itu.

Abu Hanifah pula berpendapat, dibolehkan melihat wajah, tangan dan kaki. (Bidayatul Mujtahid wa Nihaayatul Muqtasid, jil: 3, ms: 10).

Pendapat ini juga dipersetujui oleh Ibn Rushd. Jumhur ulama membenarkan melihat wajah dan tangan kerana wajah merupakan sumber kecantikan seorang wanita dan tangan pula boleh menggambarkan tubuhnya sama ada langsing atau sebaliknya.

Berhubung dengan percintaan sebelum kahwin yang banyak berlaku di banyak Negara Islam diambil dari budaya barat, ia mempunyai banyak kesan negatif berbanding positif. Dalam Islam, lelaki dan wanita yang tidak ada sebarang pertalian darah (mahram) tidak boleh membuat sebarang perhubungan, sentuhan, keluar berdua-duaan (dating) atau sebagainya tanpa ikatan yang sah. Sudah banyak pengalaman orang-orang terdahulu mengajar kita betapa cinta yang berlandaskan keinginan nafsu tanpa panduan syarak gagal di pertengahan jalan.

Ramai yang menjadi buta kerana cinta. Orang yang sedang bercinta selalunya tidak dapat menilai sesuatu dengan baik kerana ditutup oleh perasaan itu. Mereka seolah-olah berada di awang-awangan. Akhirnya setelah berkahwin, barulah mereka tersedar siapa sebenarnya pasangan yang mereka cintai selama ini. Mereka juga mula menyedari bahawa pasangannya itu bukanlah sebaik yang disangka. Sebab itulah boleh dikatakan satu pertiga perkahwinan di barat berakhir dengan perceraian.

Cinta yang berpandukan kecintaan kepada ALLAH akan membahagiakan hati manusia dan menenangkan jiwa mereka. Mereka dapat menilai baik buruk sesuatu perkara dan sanggup mengorbankan perasaan cinta dan keinginan sendiri semata-mata kerana takut akan azab ALLAH. Mereka yakin sepenuh hati bahawa ikatan cinta yang diredhai itulah yang akan membawa kebahagian dan keberkatan dalam hidup mereka. Kesimpulannya, ingatlah bahawa syaitan sentisa menghiasi indah sesuatu maksiat. Padahal ia amat keji di sisi ALLAH.

Orang yang bercinta selalu lupa diri kerana telah terikut jalan syaitan. Bukanlah cinta itu yang mesti diperangi kerana ia fitrah dan pendorong utama manusia hidup di dunia ini. Tetapi, tindakan melanggar hukum syarak akibat cinta yang tidak terkawal itulah yang perlu dihindari. Mudah-mudahan ALLAH memberi petunjuk kepada muda-mudi hari ini kepada jalan yang lurus dan diredhai-NYA.

Wallahu a’lam.

Terlalu Ingatkan Kematian

Assalamualaikum,

Sekadar renungan..............

Mengingati kematian adalah sesuatu yang baik kerana ia merupakan cara kita lebih bersemangat untuk melakukan ibadah dan melakukan kebaikan. Sesungguhnya mati pasti akan ditempohi oleh setiap insan dan memang patut diingati selalu. Firman ALLAH S.W.T:

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya." – Surah Ali 'Imran: 185.

Tiada siapa boleh lari daripada mati. Setiap kita hendaklah bersedia menghadapinya setiap ketika. Kerana tiada siapa yang mengetahui waktunya. Firman ALLAH S.W.T:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu." - Surah al-Jumu'ah: 8.

Mengingati mati adalah sesuatu yang baik. Bukan perkara yang tidak baik. Dengan itu dia akan membuat persiapan untuk menghadapinya dengan memperbanyakkan amal soleh dan meninggalkan larangan ALLAH.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Perbanyakkanlah mengingati perkara yang memusnakan kenikmatan (kematian)." – Hadis sahih riwayat al-Tirmizi, al-Nasai dan Ibn Majah.

Wallahu a’lam.

Hukum Mandi Bunga

Assalamualaikum,

Sekadar renungan..............

Mandi bunga bukanlah suatu yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan salafussoleh terdahulu. Ia berasal daripada kepercayaan lama yang dipegang oleh orang Melayu, kononnya untuk membuang sial dan menaikkan seri wajah.

Melakukan mandi bunga atas dasar para pakar perubatan telah mengesahkan kebaikan dan khasiatnya kepada tubuh badan, bukanlah satu kesalahan. Yang salah ialah berjumpa bomoh atau pawang dan meminta dimandikan dengan membaca mentera tertentu untuk menaikkan seri wajah. Semua mentera yang dibaca oleh para bomoh itu kebanyakannya ada unsur syirik dan khurafat. Rasulullah s.a.w melarang umatnya berjumpa bomoh dan mempercayai kata-katanya. Oleh itu hindarilah dosa yang membawa kepada syirik kerana ia merupakan salah satu dosa yang tidak diampunkan.

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Sesiapa yang mendatangi tukang tilik atau bomoh, lalu percaya kepada apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi Muhamad s.a.w." – Hadis sahih riwayat Abu Daud dan Ashab al-Sunan.

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Sesiapa yang mendatangi bomoh, kemudian bertanya kepadanya sesuatu, solatnya tidak akan diterima selama 40 hari." – Riwayat Muslim.

Tidak ada ayat tertentu yang boleh dibaca untuk mempercepatkan jodoh. Al-Quran mempunyai misi yang lebih besar daripada itu, iaitu sebagai petunjuk kepada sekalian alam dan menyelamatkan umat manusia daripada Neraka. Ia tidak akan membincangkan hal remeh-temeh seperti mencari jodoh atau menyerikan wajah.

Oleh itu, jika saudari benar-benar ingin berkahwin kerana menghindari maksiat, mohonlah kepada ALLAH agar mempermudahkan jalan ke arah itu. Semoga DIA mempertemukan saudari dengan seseorang yang soleh. Saya mengesyorkan saudari berdoa pada masa-masa doa dimakbulkan. Antaranya pada penghujung malam, ketika bermusafir, selepas solat Asar pada hari Jumaat, pada hujung solat sebelum salam, antara azan dan iqamah, ketika sujud, ketika hujan, ketika hampir berbuka puasa dan sebagainya.

Mintalah kepada ALLAH dengan bersungguh-sungguh tanpa rasa putus asa. Di samping itu, janganlah terlalu mengharap doa itu dikabulkan segera. Teruskan berdoa dengan penuh yakin dan bersangka baik dengan TUHAN. Insya-ALLAH DIA akan membuka jalan dan memudahkan jodoh saudari.

Wallahu a’lam.

Friday, July 4, 2008

Menggunakan Jin Dalam Perubatan

Assalamualaikum,

Sekadar renungan..............

Menurut pemahaman saya(Ustaz Mohd Noor), meminta pertolongan jin atau menjadikannya sebagai qarin (pendamping) untuk menunaikan hajat sama ada memudaratkan seseorang atau memberikan manfaat termasuk perbuatan syirik dalam ibadah. Ia termasuk kategori istimta’ (mempergunakan jin) sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

“Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) ALLAH akan himpunkan mereka semua (lalu berfirman): Wahai sekalian jin (syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut daripada kalangan manusia. Berkatalah pula pengikut-pengikut mereka daripada golongan manusia: Wahai TUHAN kami! Sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat khidmat) dengan sebahagian yang lain (syaitan-syaitan) dan sekarang kami telah sampai kepada masa kami (hari kiamat) yang ENGKAU telah tentukan buat kami. (ALLAH berfirman): Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal di dalamnya kecuali apa yang dikehendaki ALLAH. Sesungguhnya TUHANmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana lagi Maha mengetahui”. – Surah al-An’am: 128.

Dalam ayat lain:

“Sesungguhnya (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat”. – Surah al-Jin: 6.

Tidak pernah dinukilkan salafussoleh mengamalkan perubatan menggunakan jin atau diistilahkan sebagai qarin dalam perubatan atau kehidupan harian. Menurut kefahaman saya, jelas sekali ia termasuk kesyirikan dan amal ibadah tidak diterima selagi tidak bertaubat berdasarkan firman ALLAH di dalam surah al-Zumar, ayat 65.

Wallahu a’lam.